“Pada pagi yang indah itu…saya sedang duduk berehat-rehat di halaman rumah sambil menghalakan pandangan ke arah utara . Suasana pada ketika itu amat tenang tetapi tidak lama…kerana tiba-tiba… nun jauh di atas hutan belantara , langit utara seperti terbelah dua. Warna langit yang kebiru-biruan bertukar menjadi merah terang seperti terbakar. Ianya tidak ubah seperti api, hangat membara. Saya merasa tersangat panas dan saya juga merasakan baju-T yang dipakai oleh saya pada ketika ituseperti dijilat api. Dan pada ketika itulah…saya tiba-tiba terdengar letupan yang sangat kuat dan dashyat. Langit seperti hendak runtuh dan bumi bergegar dengan kuat. Tanpa saya sedari, saya telah tercampak lebih kurang 20 kaki dari tempat saya berada..”
Seperti yang diceritakan oleh S.Semenov, Tunguska Event’s survivor
Dialog yang diceritakan di atas mungkin nampak seperti rekaan semata-mata tetapi percayalah semuanya adalah benar-benar berlaku. Ianya telah direkodkan lebih seabad yang lalu oleh seorang mangsa yang terselamat dari tragedy ngeri itu. “ Tunguska Event “ atau pun Tragedi Tunguska merupakan sebuah peristiwa letupan raksasa yang amat misteri dan masih membingungkan para saintis dan pengkaji sehingga ke saat ini. Ianya telah dikenal pasti berlaku di sebuah kawasan hutan yang amat luas bernama Podkamennaya berdekatan sungai Tunguska di mana kawasan itu sekarang lebih dikenali sebagai Krasnoyarsk Krai, tengah Siberia, Rusia diantara jam 7.00am ke 8.00am, 30 Jun 1908.
Berbagai-bagai teori telah diutarakan oleh para pengkaji dan yang paling popular dan lebih diterima pakai ialah hentaman meteorit atau pun tahi bintang. Meteorit itu telah dikatakan meletup sebelum sempat sampai ke bumi dan menghasilkan debu gas panas atau serpihan halus meteorit berketinggian 5 ke 10 km dari permukaan bumi. Tenaga yang terhasil daripada letupan itu menyamai 10 ke 20 megaton TNT juga bersamaan dengan 1000 kali lebih kuat daripada bom atom Little Boy yang digugurkan di Hiroshima. Anda boleh bayangkan kekuatannya yang amat dashyat dan membunuh itu. Dan disebabkan kekuatan letupan itulah lebih 80 juta pokok Pine ranap dan menyembah bumi di kawasan hutan yang berkeluasan 2150 km persegi. Letupan sebesar ini di andaikan boleh melenyapkan sebuah bandar metropolitan yang besar seperti New York atau negara-negara kecil. Kejadian ini juga dianggap kejadian letupan paling besar dalam sejarah dan telah menimbulkan idea-idea tentang usaha untuk mengelakkan tragedi ini berulang kembali dengan melakukan perbincangan dan kajian menyeluruh untuk mengelakkan asteroid daripada menghentam bumi.
Letupan ini juga turut menghasilkan gelombang seismic yang bermagnitud 5.0 pada skala richter dan gangguan pada tekanan atmosfera. Rentetan dari kejadian ini, langit seperti berada dalam keadaan yang terang selepas beberapa minggu sehingga sesiapa yang ingin membaca di dalam gelap tidak perlu untuk membuka lampu. Kesan-kesan yang terhasil dari letupan ini juga dikatakan berlangsung sehingga beberapa bulan.
Gambaran imaginasi pelukis mengenai letupan Tunguska
Pada mulanya, teori tentang hentaman meteorit diterima pakai oleh semua pihak tetapi pada tahun 1927 iaitu pada ketika seorang mineralogis Rusia bernama Leonid Kulik melakukan ekspedisi ke Podkamennaya, beliau mendapati tidak ada satu kawah meteorit pun yang terbentuk di situ. Apa yang cuma beliau temui adalah padang hutan ranap yang amat luas. Penemuan ini amat menghairankan beliau dan juga para pengkaji lain yang selama ini berpegang teguh dengan teori hentaman meteorit.
Beliau juga telah menjalankan beberapa ekspedisi susulan dalam pencarian punca kejadian letupan Tunguska dan beliau telah menjumpai corak seakan-akan rama-rama pada bentuk padang hutan ranap yang diambil gambarnya dari udara. Selain dari itu beliau juga telah menjumpai komposisi gelas mikro dan logam nikel dan iridium yang biasa didapati dari meteorit. Walaubagaimanapun beliau tetap gagal menemui kawah meteorit itu. Berikutan dengan penemuan itu, pihak berkuasa Rusia telah berusaha mendapatkan seberapa banyak bukti dan laporan dari saksi dan mangsa kejadian. Kebanyakan saksi yang masih hidup menyatakan mereka seperti terpanggang akibat haba panas dari letupan itu dan ada diantara mereka mati terbakar. Tidak kurang juga yang mendakwa kesan dari letupan itu telah menyebarkan wabak penyakit berbahaya seperti demam cacar kepada penduduk sekitar.
Pandangan atas Tunguska dari satelit
Pada tahun 2007 yang lalu, sepasukan saintis Itali dari Universiti Bologna telah melakukan kajian ke kawasan tersebut dan mendakwa tasik yang berjarak 8km ke arah barat daya dari pusat letupan merupakan kawah meteorit itu. Tasik itu juga lebih dikenali sebagai Lake Cheko. Hasil kajian mereka juga menemui lubang berbentuk corong di dalam tasik tersebut. Tambahan pula hasil kajian geofizikal di dalam tasik berkenaan, mereka menjumpai serpihan-serpihan batu yang tidak diketahui asal-usulnya yang terenap di dasar tasik tersebut. Walaubagaimanapun, kajian yang lebih lanjut masih dijalankan oleh pihak universiti untuk mengumpul bukti yang cukup bagi mengesahkan kajian mereka.
Letupan Tunguska mengundang banyak teori dan pandangan dari saintis-saintis seluruh dunia dan bukan hanya tertumpu pada teori hentaman meteorit sahaja. Ada juga yang mengaitkannya dengan kuasa alam semulajadi seperti lubang hitam dan hasil perbuatan UFO atau makhluk asing. Hasil dari kajian yang memakan masa lebih seabad telah mencipta beberapa teori baru seperti:
Kapal Angkasa UFO
Pada tahun 1946, seorang penulis novel berbangsa Soviet iaitu Alexander Kasantsev telah mencipta teori mengenai letupan kapal angkasa nuclear dari Marikh dimana ianya pada ketika itu sedang dalam perjalanan untuk mengutip sampel air dari Tasik Baikal. Tetapi telah berlaku kerosakan dalaman dan meletup sehingga menyebarkan kesan-kesan radioaktif ke kawasan persekitaran. Teori ini juga disokong oleh Alexei Zolotov di mana beliau telah menyimpulkan sekaligus hasil teori nuclear 17 tahun yang dibuat oleh beliau dan teori kapal angkasa UFO dari Kasantzev. Manakala seorang penulis buku-buku Sains telah mencipta teori letupan tersebut disebabkan oleh kemalangan kapal angkasa yang disengajakan atas sebab-sebab tertentu. Keadaan pokok-pokok mati yang tumbang ke bumi juga dan sedikit kesan radioaktif yang dijumpai pada sampel kulit pokok juga membantu menambahkan kekukuhan teori ini. Walaupun ada beberapa pengkaji yang mendakwa menemui kesan-kesan aktiviti makhluk asing di situ tetapi teori ini masih lagi samar-samar untuk diakui kerana faktor-faktor persekitaran lain.
Pereputan Jirim Gelap
Teori ini telah diutarakan oleh Clyde Cowan, C.R. Atluri dan Willard Libby pada tahun 1965 dengan menyatakan berlakunya pelanggaran atau pereputan di antara Jirim Gelap dari meteorit dalam kuantiti yang banyak di atas ruang angkasa Tunguska sehingga menghasilkan tenaga yang sangat besar. Mereka telah menjumpai 1% jirim Karbon C-14 di dalam gegelang dua pokok mati di sana. Mereka juga mendakwa pereputan jirim itu juga telah menaikkan jumlah unsur radiocarbon di dalam atmosfera dan ada diantaranya diserap oleh kulit pokok-pokok mati di situ. David Hughes dari University Brown juga menyatakan bahawa neutron-neutron yang meningkatkan jumlah radiocarbon juga mungkin didapati dari plasma panas yang biasa terdapat di laluan komet.
Lubang Gelap
Pada tahun 1973, Jackson dan Ryan telah mencadangkan sebuah teori lubang gelap di mana sebuah lubang gelap berjisim bertrillion gram dan membebaskan tenaga raksasa telah menyebabkan kemusnahan Tunguska. Walaubagaimanapun teori ini banyak menghadapi masalah kerana tidak dapat menyediakan bukti yang kukuh mengenai kehadiran lubang hitam dan bagaimana lubang tersebut boleh lesap begitu sahaja.
Hentaman Komet
Teori ni lebih diterima pakai dari yang lain-lain kerana para saintis telah membuat hipotesis di mana nukleus komet yang meledak dipercayai menjadi penyebab utama kepada tragedi Tunguska. Mereka telah membuat andaian di mana pada ketika itu, di atas langit kawasan tengah Siberia sebuah komet telah memasuki ruang atmosfera dan melebur. Komet itu memiliki komposisi seperti 30,000 tan air, gas metana, ketulan ais ammonia dengan sedikit habuk silica dan besi oksida. Komet tersebut memasuki atmosfera dengan kelajuan yang tinggi iaitu 60km/s dan menghasilakan gelombang getaran yang tinggi di permukaannya. Apabila ia semakin menghampiri permukaan bumi, ia telah meletup sebanyak 3 kali pada jarak 8km dari bumi. Awan hitam yang besar serta-merta terjadi selepas letupan dan menghasilkan tenaga yang amat kuat dengan suhu mencapai 16.6 million ˚C sehingga mampu menghasilkan padang pokok ranap pada radius 15km. Letupan ni juga turut menghasilkan gelombang seismic bermagnitud 5 namun tidak menghasilkan sebarang kawah. Ekor komet yang terdiri dari habuk elemen halus berselerak di ruang angkasa dan menghasilkan sinaran terang pada malam hari di sebahagian benua Eropah dan barat Rusia.
Tunguska hari ini...
Walau sudah lebih seabad tragedi ini berlaku namun ianya tetap menjadi misteri alam yang masih tidak difahami oleh kalangan saintis. Walau pun banyak teori telah dicipta tetapi para saintis masih lagi menemui jalan buntu untuk mengesahkan penyebab sebenar kejadian ini. Apa-apa pun tragedy Tunguska merupakan sebuah tragedi misteri yang paling hebat pada abad ini. Segala misteri alam yang terselindung cuma dapat di selidiki hakikatnya hanya sedikit sahaja oleh manusia, selebihnya segala rahsia menjadi pengetahuan milik Allah SWT yang Maha Bijaksana….
Tiada ulasan:
Catat Ulasan